Cerita disebalik Blog header

Wednesday, November 24, 2004

Sambutan Thanksgiving

Berlalulah sambutan Aidilfitri. Walaupun tidak semeriah sambutan di Malaysia, Alhamdulillah ia masih lagi diraikan dengan penuh kesederhanaan berteras agama dan budaya.

Khamis ini bermulalah ekstravagansa akhir tahun di New York. Cuti segala cuti, sambutan segala sambutan, jualan segala jualan. Bermula dengan Thanksgiving, Hari Natal dan Tahun Baru 2005. Warga New York akan bercuti, berpesta dan menghabiskan akhir tahun dengan perayaan yang gilang-gemilang. Kata orang, tiada tempat lain di dunia ini yang sambutannya adalah semeriah dan sehebat New York.

Ayam Belanda Panggang, hidangan tradisi semasa sambutan ThanksgivingHari ini kita bercerita mengenai sejarah dan sambutan musim cuti di New York. Secara ringkasnya, Thanksgiving bermula apabila sekumpulan pelayar Kristian berlayar dari London ke Plymouth Rock, Amerika pada 1620 mengadakan perayaan pada 1621 kerana berjaya mengharungi kepayahan kehidupan di tempat baru. Ia tidak disambut secara menyeluruh pada ketika itu dan hanya pada 1777 peristiwa ini disambut serentak oleh 13 koloni. Pada 1863, Presiden Lincoln mengisytiharkan Khamis terakhir November sebagai hari Thanksgiving bagi seluruh US. Hanya pada 1941, Kongress Amerika mengesahkan Thanksgiving pada setiap Khamis keempat November sebagai cuti umum. Namun ada catatan sejarah menyatakan Hari Thanksgiving disambut untuk meraikan "kejayaan" pembunuhan beramai-ramai 700 orang suku kaum Pequots Red Indian pada 1673 di Massachusetts Bay Colony. Tidak diketahui kebenarannya.

Hari ini keluarga moden Amerika melihat Thanksgiving sepertimana kita melihat Buka Puasa terakhir di bulan Ramadhan atau makan besar kaum Cina sebelum Tahun Baru Cina. Suatu masa di mana semua akan pulang ke kampung, makan bersama dan meluangkan masa bersama keluarga. Hampir kebanyakkan kedai dan premis pejabat tutup pada hari tersebut untuk membolehkan pekerja pulang menyambutnya bersama keluarga.

Sambutan lain Thanksgiving Day ialah Perarakan Kereta Berhias Macy's yang merupakan perarakan yang paling ditunggu-tunggu oleh semua. Ia telah dimulakan pada 1924 dan tahun ini merupakan tahun ke-78 ia diadakan (kecuali tahun-tahun Perang Dunia). Ia melibatkan hampir 2000 orang sukarelawan dan berarak sejauh 2.5 batu. (Di antara 78th Street dan akan berakhir di 34th Street 7th Avenue.)

Fakta: Seramai 60-70 orang diperlukan untuk memegang belon-belon terapung yang akan diarak bersama-sama. Tahun ini, antara belon-belon yang diterbangkan ialah Spongebob Square Pants, Chicken Little, Ronald McDonald, Parker Brothers (Lelaki tua bertopi dalam monopoli) dll.

Mengenai membeli belah, Jumaat selepas Thanksgiving dinamakan sebagai Black Friday. Black, kerana pada hari ini bermula (secara besar-besaran) proses membeli belah untuk Hari Krismas dan kerugian sepanjang tahun (dicatatkan di dalam warna merah) ditampung oleh keuntungan pada musim ini. Kejayaan musim membeli belah pada satu-satu tahun bergantung pada hari Jumaat ini. Sesetengah pusat membeli belah seperti Macy's akan memulakan operasi pada 6.30 pagi hingga lewat tengah malam! Ada yang akan "berkhemah" di dalam kereta atau di luar kedai menunggu kedai tersebut di buka! Jadi kepada rakan-rakan yang hobinya membeli belah, saya mengalu-alukan kehadiran anda di sini pada hari Khamis dan Jumaat. Saya sudah pasti akan pergi membeli belah ini hujung minggu ini.

Tidak mahu bersama?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home